Misykaatul Anwar Kajian Awa1

بسم الله الرحمن الرحيم

Puji-pujian bagi Allah yang melimpahkan keluar Nur (cahaya) yang memberi penglihatan, dan dari rahsia yang Maha tinggi menyingkap hijab (tabir) malam.

Selawat dan salam kepada Muhammad SAW.; cahaya bagi segala cahaya; penghulu orang-orang yang sholeh, kekasih Allah; guru kepada mereka yang diberi keampunan; kepadanya diberi kesejahteraan; tangan yang melawan dan memukul kepada orang-orang yang berdosa dan kepada orang-orang kafir.

Saudaraku!'

Semoga Allah memberi saudara kebahagiaan yang maha tinggi yang ingin dicari oleh manusia; menjadikan saudara sebagai orang yang dipilihNya untuk naik ke darjah yang paling tinggi dan memenuhi pandangan saudara dengan cahaya hakikat, dan membuang dari batin saudara apa yang bukan hakiki. Saudara meminta saya(Imam Ghazali) menyampaikan rahsia-rahsia cahaya ketuhanan beserta dengan Qiyas-qiyas atau perumpaan yang ada di sebalik maksud-maksud lahir ayat al-Quran dan hadis yang tertentu terutama;

"Allah cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahayaNya itu laksana sebuah Misykaat; di dalamnya ada lampu. Lampu itu di dalam sebuah kaca. Kaca itu laksana bintang yang gemerlapan. Dipasang dari sebatang kayu yang beroleh berkat, iaitu (minyak) pohon zaitun, tidak timur, dan tidak barat. Hampir sahaya minyak itu bernyala-nyala walaupun ia belum disentuh oleh api. Cahaya Atas Cahaya". (Surah An-Nur: 35)

"Tetapi bagi orang-orang kafir, perbuatan mereka itu adalah ibarat kegelapan yang bertimbun-timbun di laut yang sangat dalam yang berombak dan dilapisi lagi dengan ombak di atas awan gelap, Gelap di atas Gelap, sehingga jika seseorang menjulurkan tangannya, tidaklah kelihatan tangan itu. Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak beri cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya".

Apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan perbandingan atau Qiyas antara cahaya dan Misykaat(ceruk) , dan kaca, dan lampu, dan minyak, dan pokok itu?.

Dan perhatikan hadis ini;

"Allah mempunyai tujuh puluh ribu hijab (tabir) cahaya dan kelam. Sekiranya Ia membuka hijab itu, maka KeagunganNya pasti akan menghancurkan sesiapa yang mengenalinya dengan pandangan".

Demikianlah permintaan suadara. Tetapi dengan permintaan itu saudara telah bercita-cita hendak memanjat ke tempat yang tinggi yang sukar didaki. Tinggi sekali, hingga tidaklah tergamak oleh manusia biasa. Suadara telah mengetuk pintu yang terkunci yang hanya akan dibuka kepada mereka yang mengetahui dan mengenal dengan sebenarnya dan tetap keyakinannya. Tambahan pula, bukan setiap rahsia itu akan dibentang atau dipamirkan kerena;

"Hati-hati yang mulia itu menutup rahsia-rahsia seperti liang lahat".

atau sebagaimana kata orang Arif;
"Membuka rahsia Ketuhanan itu adalah seperti menafikan Tuhan".

atau sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW.;
"Ada satu ilmu seperti keadaan benda yang tersembunyi, tidak siapa yang tahu kecuali mereka yang tahu dan kenal kepada Allah".

Jika rahsia itu dikeluarkan, hanya orang-orang yang jahil sahaja akan menafikannya. Walau bagaimanapun, ramai orang-orang jahil itu, rahsia-rahsia itu mestilah dipelihara dan jangan dibiarkan dinodai oleh orang-orang yang berdusta.
Tetapi saya percaya, hati saudara telah dibuka oleh cahaya itu dan kesedaran saudara telah bersih dari gelap kejahilan. Oleh itu, saya tidak teragak-agak membawa saudara menuju hakikat yang mulia dan suci itu kerana kesalahan menyembunyikan ilmu dari orang-orang yang menghendakinya adalah sama seperti kesalahan mengeluarkan ilmu kepada orang-orang yang mensia-siakannya, seperti kata penyair;
"Orang yang memberi ilmu kepada si bodoh akan hilanglah ilmu itu; orang yang yang manahan ilmu dari orang yang memerlukannya, adalah membuat dosa'.
Saudara hendaklah berpuas hati dengan penerangan yang ringkas berkenaan perkara ini. Jika hendak diceritakan sepenuhnya, maka terpaksalah dihuraikan pokok-pokok dan ranting cabangnya. Untuk itu, pada masa ini saya tidak mempunyai cukup masa dan fikiran serta daya upaya saya pun tidak bebas untuk itu. Kunci kepada semua hati adalah di tangan Allah. Dia membuka hati itu apabila dikehendakiNya menurut kehendakNya dan dengan apa sahaja yang dikehendakiNya. Pada masa ini, cukuplah dibukakan kepada saudara tiga bab atau bahagian. Yang pertama adalah seperti berikut.

"Cahaya" dan berbagai cahaya: Kajian Awal

1."Cahaya"sebagai cahaya biasa: sebagai "mata"; sebagai "Aqal"
--------------------------------------------------------------------------------
Cahaya hakiki (yang sebenar) ialah Allah. Lain daripada itu, nama "cahaya" adalah hanya perumpamaan sahaja dan tidak membawa maksud yang sebenar.
Untuk menerangkan perkara ini, saudara hendaklah tahu bahawa perkataan "cahaya" itu digunakan di tiga tempat pengertian.

Pertama, digunakan oleh kebanyakan orang.

Kedua, digunakan oleh sedikit orang dan;

Ketiga, digunakan oleh beberapa orang sahaja.

Kemudian saudara hendaklah tahu berbagai-bagai peringkat cahaya yang berkaitan dengan yang kedua dan ketiga dan darjah-darjah hakikat yang ada bersangkutan dengan peringkat-peringkat tersebut, agar dengan itu saudara dapat mengetahui, setelah peringkat-peringkat ini menjadi bertambah terang kepada saudara, bahawa Allah itulah cahaya paling tinggi dan terakhir. Selanjutnya apabila hakikat yang berkaitan dengan tiap-tiap peringkat itu telah ternampak, maka disedarilah bahawa Allah itu sahajalah yang hakiki, cahaya sebenarnya, dan yang lain tidak mempunyai cahaya apa-apa.

Pengertian Pertama
Sekarang mari kita bincangkan pengertian yang pertama. Di sini perkataan "cahaya" menunjukkan "fenomena" atau kejadian. Fenomena atau apa yang nampak ialah istilah relatif (bandingan dan berubah-ubah), kerana sesuatu itu ternampak kepada sesuatu yang lain dari dirinya, atau tersembunyi daripada sesuatu yang lain dari dirinya. Maka dengan itu, nampak atau tidak nampak adalah relatif sahaja. Selanjutnya pula, nampak dan tidak nampak itu adalah relatif (bandingan) kepada kebolehan memandang (Perceptive faculties). Pada kebanyakan orang kebolehan memandang yang paling kuat dan terang ialah deria-deria (senses). Satu daripada deria-deria itu ialah deria lihat atau penglihatan mata. Benda-benda ini pula dari segi deria lihat terbahagi kepada jenis-jenis berikut;

1. Tanda-tanda yang dengan sendirinya tidak boleh kelihatan, seperti benda-benda atau badan yang kelam (gelap).

2. Tanda-tanda yang dengan sendirinya boleh kelihatan, tetapi tidak boleh membuat benda-benda lain kelihatan, seperti bintang-bintang, api yang sebelum menyala.

3. Tanda-tanda yang dengan sendirinya boleh kelihatan dan juga membuat benda-benda lain boleh kelihatan, seperti bulan, matahari, atau lampu dan api yang menyala.

Nama cahaya ini diberi kepada golongan jenis yang mombor tiga(3) di atas itu. Kadang-kadang kepada apa yang terpancar dari benda-benada yang bersinar ini dan pancaran itu terjatuh atau tertumpu kepada bahagian luar benda-benda yang kelam (tidak lut sinar) iaitu apabila kita katakan "bumi diterangi" ke dinding atau ke pakaian dan kadang-kadang kepada benda-benda yang bersinar itu sendiri kerana benda-benda itu bersinar dengan sendirinya.

Kesimpulannya, cahaya ialah perkataan yang digunakan kepada apa yang dengan sendirinya boleh kelihatan dan membuat yang lain kelihatan, seperti matahari. Inilah takrif (definisi) cahaya dan hakikat berkenaan cahaya menurut pengertian yang pertama itu.

Pengertian Yang Kedua

Kita telah lihat sekarang bahawa hakikat cahaya itu ialah apa yang nampak kelihatan oleh orang yang melihat; dan penglihatan itu; terkadang kepada wujudnya dua perkara iaitu;

1. cahaya.
2. mata yang melihat.

kerana meskipun cahaya itu adalah apa yang nampak dan disebabkan supaya nampak, namun ia tidak nampak atau disebabkan supaya nampak kepada orang-orang buta.

Oleh yang demikian, ruh (safiriah) si pelihat adalah sama penting dengan cahaya yang boleh dilihat itu. Ruh itu memainkan peranan penting dalam penglihatan bahkan ia lebih penting kerana ruh si pelihat itulah yang mengerti dan melalui ruh itulah fahaman atau pengertian terjadi atau terjelma. Cahaya tidak ada pengertian dan tidak ada pengertian atau fahaman berlaku melaluinya. Tetapi hanya semata-mata apabila ia ada hadir sahaja.

Sebenarnya perkataan "cahaya" itu ialah cahaya yang melihat yang kita namakan "mata". Dengan demikian, manusia memakai perkataan "cahaya" itu kepada cahaya mata.

Orang yang kabur matanya, dikatakan "cahaya penglihatannya kabur".
Orang yang lemah penglihatan dikatakan "cahaya pandangan matanya lemah".

Orang yang buta dikatakan "cahayanya habis gelap"

Adalah dikatakan bahawa anak mata itu menumpukan "cahaya" pandangan dan memperkuatkannya. Bulu mata pula dijadikan Allah berwarna hitam dan dijadikan untuk memandu dua biji mata itu pula berpusing-pusing supaya menumpukan "cahayanya." Dikatakan juga mata putih itu menyelerakkan "cahaya mata" itu dan melimpahkannya, dan memandang lama kepada permukaan putih berkilau, atau lebih lagi memandang cahaya matahari akan menyilaukan "cahaya mata" itu dan mencacatkannya seperti mana permukaan yang lemah dicacatkan oleh permukaan yang kasar dan kuat.

Sekarang tahulah saudara bahawa ruh si pelihat itu digelar cahaya. Kenapa digelar demikian itu dan kenapa sewajarnya digelar demikian itu?. Inilah pengertian kedua yang diketahui oleh sedikit orang sahaja.

Pengertian Yang Ketiga.

Hendaklah saudara tahu selanjutnya iaitu cahaya penglihatan biasa itu mempunyai beberapa kekurangan atau kecacatan.

Ia melihat benda lain tetapi tidak melihat dirinya sendiri.
Ia juga tidak dapat melihat perkara yang sangat jauh atau yang sangat dekat.
Ia tidak dapat melihat perkara yang di belakang dinding.
Ia melihat yang diluar sahaja dan tidak nampak yang di dalam.
Ia melihat bahagian-bahagian sahaja bukan keseluruhan.
Ia melihat perkara yang terbatas atau terhad dan tidak nampak perkara yang tidak terbatas.

Dalam melihat itu pula, ia banyak membuat kesalahan, kerana apa yang sebenarnya besar, pada pandangannya nampak kecil, apa yang jauh nampak dekat, apa yang diam nampak bergerak, apa yang bergerak nampak diam.

Inilah tujuh kecacatan yang ada pada mata biasa itu.

Jika ada mata lain yang tidak mempunyai kecacatan atau kekurangan tersebut di atas, bukankah betul juga jika mata sedemikian itu diberi nama "Cahaya" juga?.

Ketahuilah bahawa ada sejenis mata di Alam Aqal atau jiwa manusia, yang bebas dari kekurangan dari kecacatan yang ada pada mata biasa ini. Itulah yang digelarkan "Aqal", "Ruh", "Jiwa". Tetapi di sini eloklah kita tinggalkan sahaja beberapa istilah tersebut kerana istilah-istilah yang banyak itu menyebabkan orang yang kurang pintar fikirannya akan menyangka banyak pula idea-idea atau tanggapan-tanggapan yang dimaksudkan oleh istilah-istilah itu. Apa yang kita maksudkan ialah sesuatu yang membezakan orang yang berfikiran dengan bayi, dengan binatang dan dengan orang gila. "Sesuatu itu" kita katakanlah ia sebagai "Aqal". Tak usahlah kita gunakan istilah-istilah seperti ruh atau jiwa itu, supaya tidak mengelirukan perbincangan kita itu. Kita pakai perkataan Aqal sahaja untuk semuanya. Oleh yang demikian itu, aqal itu lebih baik kita namakan "cahaya" dan tidak dinamakan "mata" kerana "Aqal" itu tidak mempunyai tujuh macam kecacatan atau kekurangan yang tersebut tadi.

Kita bincangkan sekarang.

Kekurangan dan Kecacatan Pertama.

Mata itu tidak dapat melihat dirinya sendiri tetapi Aqal dapat melihat dirinya dan juga yang lain. Ia melihat dirinya dan tahu yang ia ada diberi ilmu, kuasa dan lain-lain; dan melihat ilmunya sendiri dan melihat ilmu bagi ilmunya, dan seterusnya . Inilah keadaan mata batin yang dinamakan Aqal itu. Mata biasa (lahir) tidak mempunyai sifat-sifat seumpama itu.

Kekurangan dan Kecacatan Kedua.

Mata kasar atau mata biasa ini tidak dapat melihat apa yang sangat dekat dan juga yang sangat jauh. tetapi bagi Aqal, tidak ada bezanya antara dekat dan jauh. Dengan sekelip mata, Aqal dapat naik ke langit yang paling tinggi, sekelip mata juga ia menurun ke perut bumi. Jadi, jelaslah kepada kita bahawa Aqal itu tidak tertakluk kepada tanggapan atau idea "JAUH" dan "DEKAT", yang mana kedua idea itu berpakai dalam Alam Kebendaan sahaja, tetapi Aqal termasuk dalm bidang Yang Suci dan Tinggi.

Ini menunjukkan bahawa Aqal itu adalah satu pulau atau "ceruk" atau contoh sifat-sifat Ketuhanan. Contoh ini pastilah bersesuaian atau sepadan dengan asalnya, meskipun ia tidak sampai ke tingkat persamaan atau setaraf dan ini mungkin menyedarkan saudara tentang maksud yang sebenarnya berkenaan hadi Nabi SAW. yang bermaksud;

"Allah menciptakan Adam menurut bayanganNya sendiri".

Tetapi buat setakat ini tidaklah sesuai lagi kita bicarakan secara lebih mendalam tentang perkara ini.

Kekurangan dan Kecacatan Ketiga.

Mata kasar ini tidak dapat melihat apa yang di belakang dinding, tatapi Aqal bebas lepas terbang sampai ke langit yang maha tinggi dan ke alamnya sendiri, dan alam ghaib. Hakikat sesuatu tidak terhijab kepada Aqal. Yang menjadi hijab (tabir) padanya ialah yang dianggap sebagai kepentingan sendiri iaitu ibarat hijab yang dianggap oleh mata, kerana kehendak sendiri, apabila kulit mata di tutup. Perkara ini akan kita bincangkan lagi di bab ketiga karangan ini.


Kekurangan dan Kecacatan Keempat.

Mata melihat bahagian luar sesuatu benda sahaja, tetapi tidak melihat bahagian dalam benda itu. Ini bererti mata kasar ini hanya nampak bentuk-bentuk benda itu sahaja, bukan hakikat benda itu. Tetapi Aqal menembusi batin benda itu dan terus ke rahsianya.

Ia mengetahui hakikat sesuatu dan juga jiwanya.

Ia dapat mengenal dan menimbulkan sebab-sebab dan hukum-hukum -
dari apa sala benda itu,
bagaimana terjadi berapa banyak bentuk-bentuk ideal(sempurna) yang ada padanya,
apa peringkat kejadiannya,
apa perhubungannya dengan kejadian yang lain,
dan banyak lagi.

Eloklah di sini kita ringkaskan sahaja.

Kekurangan dan Kecacatan Kelima.

Mata hanya melihat sebahagian sahaja daripada keseluruhan yang ada kerana semua konsep atau tanggapan dan banyaknya perkara yang dapat diketahui oleh pancaindera adalah di luar garisan pandangannya. Ia (mata) tidak melihat bumi, bau, rasa dan tidak tidak mempunyai kebolehan mendengar, membau, merasa, bahkan semua sifat-sifat kebatinan itu tidak terlihat olehnya. Mata tidak nampak keadaan suka, duka, sedih, sakit, seronok, cinta, kemahuan, kuasa, kehendak, ilmu dan lain-lain lagi. Oleh itu bidang mata kasar itu sangat sempit dan tindakannya terbatas. Tidak dapat melebihi lingkungan bidang warna dan bentuk. Warna dan bentuk adalah kejadian yang paling kasar kerana benda-benda yang zhohir atau tabiat ini adalah makhluk atau kejadian yang kasar.

Tetapi bidang Aqal ialah seluruh Alam Wujud, kerana ia mengetahui segala kejadian yang kita sebutkan tadi dan bebas meliputi segala yang lain juga, dan dapat pula Aqal itu membuat keputusan yang tentu dan benar. Itulah dia rahsia batin benda-benda yang zhohir dan itulah dia bentuk-bentuk tersembunyi bagi benda-benda zhohir.

Sebutkan kepada saya(Imam Ghazali) apa pula haknya mata kasar itu diberi taraf sama dengan Aqal dalam pemberian nama "cahaya" itu ?. Sesungguhnya tidak. Mata itu sebenarnya gelap. Penglihatan adalah semata-mata satu daripada alat pengintip bagi Aqal. Aqal memberi mata satu tugas untuk melihat perkara yang kasar, iaitu warna dan bentuk, Aqal menyuruh mata membawa laporan tentang warna dan bentuk tadi kepada Tuhannya, yang akan menghakimkan menurut arahan penelitian dan pertimbangan Aqal itu. Begitu jugalah dengan kebolehan-kebolehan yang lain.

Tetapi alat pengintip Aqal - khayalan, fantasi (bayangan fikiran), pemikiran, ingatan, dan di belakang mereka adalah hamba-hamba abdi yang menjalankan tugas mereka dalam dunia mereka sekarang ini. Semua itu ada yang ditahan dan ada yang diberi kebebasan, seperti mana bebasnya seorang raja menguasai hamba abdinya, bahkan lebih bebas dari itu lagi. Untuk menghuraikan perkara ini akan mengambil masa yang panjang dan perkara ini telah pun dihuraikan dalam kitab saya yang berjudul "Ihya Al-'Ulum" di bawah tajuk "Keajaiban fikiran".

Kekurangan dan Kecacatan Keenam.

Mata tidak boleh melihat apa yang tidak terhad. Yang boleh dilihatnya ialah sifat-sifat benda yang diketahui dan semua itu adalah terhad dan terbatas. Tetapi Aqal mengetahui tanggapan-tanggapan dan konsep bukanlah sesuatu yang terhad. Memang benar berkenaan dengan ilmu yang telah dicapai, isinya yang dikemukakan kepada Aqal itu adalah terhad. Ia ada keupayaan mengetahui yang tidak terhad. Ini jika hendak diterangkan sepenuhnya, memang panjang, tetapi jika saudara mahukan contoh, maka inilah satu contoh dari ilmu kira-kira.
Dalam ilmu ini Aqal memahami siri-siri angka bulat atau angka penuh (bukan pecahan) dan siri-siri ini tidak terhad. Juga, Aqal tahu angka-angka sebelum dua, tiga dan lain-lainnya; dan ini pun tidak ada hadnya. Aqal juga tahu semua perkaitan yang berbeza-beza antara nombor-nombor itu, dan ini juga tidak terhad. Akhirnya Aqal mengetahui pengetahuannya sendiri tentang sesuatu perkara. Tahunya tentang pengetahuan itu pun tidak terbatas.

Kekurangan dan Kecacatan Ketujuh.

Mata nampak benda yang besar itu kecil. Ia melihat matahari sebesar mangkuk dan bintang sebesar wang syiling yang bertaburan di atas permaidani biru. Tetapi Aqal mengetahui bahawa matahari dan bintang itu besar, bahkan lebih besar dari bumi. Kepada mata, bintang-bintang itu nampak tidak bergerak; dan kanak-kanak nampaknya tidak juga tinggi badannya. Tetapi bagi Aqal, ia tahu kanak-kanak itu semakin tinggi badannya berikutan dengan meningkatkan umurnya. Bintang itu bergerak dengan pantas melalui jarak yang beribu-ribu batu.

Dikatakan bahawa Nabi SAW. bertanya kepada Jibrail;
"Adakah matahari itu bergerak?"

Jibrail menjawab;
"Tidak - Ya".

Nabi bertanya lagi;
"Bagaimanakah itu?"

Jibrail menjawab;
"Antara aku berkata tidak dan ya itu, matahari telah bergerak sejauh 500 tahun perjalanan".

Oleh yang demikian, kesilapan dan kekurangan pandangan mata itu memang banyak, tetapi Aqal melampaui semua itu dan tidak ada kesilapan yang demikian itu.

Mungkin saudara berkata bahawa ada saudara lihat orang yang cerdik itu membuat kesilapan dan kesalahan juga. Jawab saya(Imam Ghazali) - Kebolehan khayalan dan fikiran mereka selalunya melalui pertimbangan mereka menghukumkannya dan ini menimbulkan keyakinan yang mereka anggap itulah keputusan yang dihukumkan oleh Aqal. Kesilapan atau kesalahan itu terletak kepada kebolehan yang rendah itu. Bacalah karangan saya tentang semua kebolehan ini dalam kerangan saya berjudul "Mu'ayar al-Alim" dan "Muhaqiq An-Nadzhor". Tetapi apabila Aqal dipisahkan dari dustaan dan tipuan fantasi dan khayalan, maka kesalahan bagi Aqal itu tidak mungkin.

Aqal akan melihat itu sebagaimana sebenarnya. Pemisahan ini sangatlah sukar, dan hanya mencapai kesempurnaannya setelah mati. Barulah waktu itu terang dan nyata kesalahan dan segala rahsia terbuka luas; dan tiap-tiap orang akan bertemu dengan suka atau duka yang telah disediakan oleh dirinya dan "lihatlah kitab yang merekodkan tiap-tiap pahala dan tiap-tiap dosa, tanpa satu pun yang tinggal". (Al-Quran).

Ketahuilah bahawa khayalan dan fantasi itu pun adalah hijab juga. Oleh itu orang yang telah diperdayakan dan ditipu oleh khayalannya sendiri, kepercayaan salahnya sendiri, dan fikirannya yang sia-sia akan menjawab, "Tuhan kami! Kami telah lihat engkau dan mendengar engkau. Hantarkanlah kami kembali (ke dunia) dan kami akan membuat kebaikan. Sesungguhnya sekarang kami yakin sebenar-benarnya". (Al-Quran).

Dari pandangan di atas tahulah saudara bahawa mata itu lebih tepat dipanggil "cahaya" dan bukan cahaya biasa yang dilihat oleh pancaindera itu, dan selanjutnya, Aqal itu lebih wajar digelar "Cahaya" dan bukannya mata. Memang benar dikatakan bahawa antara keduanya ada perbezaan yang besar nilainya, sehingga kita boleh bahkan mesti menganggap bahawa Aqal itulah yang sebenarnya dinamakan "CAHAYA".

2. Al-Quran sebagai Matahari "Aqal"
--------------------------------------------------------------------------------
Selanjutnya adalah diperhatikan bahawa meskipun Aqal manusia itu sebenarnya melihat tetapi benda-benda yang dilihatnya bukanlah semuanya terletak di bidang yang sama. Dalam beberapa hal, pengetahuan telah sedia ada terkandung dalam Aqal itu seperti halnya dengan kebenaran yang telah memang pasti, umpamanya:

sesuatu perkara yang sama tidak boleh bersama dengan asalnya dan

di samping itu juga tanpa asalnya atau wujud di samping tidak wujud; atau

sesuatu perkara itu benar dan tidak benar; atau

pertimbangan yang benar bagi sesuatu perkara adalah benar juga bagi sesuatu perkara yang serupa; atau

wujud yang khusus mesti diikuti juga oleh wujud yang umum.

Misalnya:
hitam membawa pengertian tentang wujud "warna".
Begitu juga dengan "Manusia" dan "binatang".

Tetapi perkaitan tersebut bukanlah pasti benarnya kepada Aqal kerana "warna" tidak melibatkan "hitam" dan begitu juga "binatang" tidak melibatkan "manusia" dan banyak (proposition) atau masalah yang lain.

Ada yang wajib, ada yang mungkin, dan ada yang mustahil. Ada juga proposisi yang tidak bersetujuan dengan Aqal apabila proposisi atau masalah itu kembali semula kepada Aqal, proposisi itu terpaksa menggoncang Aqal, menggerakkan Aqal. Pukulkan logam pada besi supaya keluar api. Misalan masalah seperti ini ialah Teori Spekulasi (masalah pertimbangan) dan untuk mengetahui teori itu, Aqal terpaksa dibangkitkan dengan Qalam (logik) falsafah. Apabila cahaya falsafah telah bersinar, maka manusia pun melihat apa yang sebenarnya, pada hal sebelum itu, penglihatannya itu terpendam. Falsafah paling agung ialah Qalam Allah umumnya dan al-Quran khususnya.

Oleh yang demikian, ayat-ayat Al-Quran itu bagi Aqal adalah umpama cahaya matahari bagi mata. Dengan adanya cahaya matahari, perbuatan melihat dapat dilaksanakan. Oleh itu, Al-Quran itulah yang paling wajar dinamakan "cahaya" sepertimana cahaya matahari itu digelar cahaya juga.

Kesimpulannya, al-Quran itu adalah ibarat matahari dan Aqal itu ibarat cahaya mata. Di sini tahulah kita maksud ayat Al-Quran;

"Percayalah kepada Allah dan RasulNya dan cahaya yang Kami turunkan".

dan ayat;

"Telah datang bukti yang nyata dari Tuhanmu dan Kami turunkan cahaya yang terang".


3. Alam Nyata dan Alam Ghaib: dan cahaya keduanya
--------------------------------------------------------------------------------
Sekarang saudara telah tahu bahawa ada jenis mata iaitu;

Mata zhohir dan mata batin. Mata zhohir termasuk dalam Alam Deria atau Alam Pancaindera. Mata batin termasuk dalam Alam Keruhanian atau Alam Ghaib. Tiap-tiap mata tersebut ada mempunyai matahari dan cahaya masing-masing, supaya dapat melihat dengan sempurna.

Matahari pun ada dua jenis. Satu daripada matahari ini ialah matahari biasa yang nampak oleh deria lihat dan yang satu lagi ialah termasuk dalam bidang Alam Ghaib; iaitu al-Quran dan lain-lain kitab Allah. Jika ini telah diterangkan sepenuhnya dan seterang-terangnya kepada saudara, maka satu daripada pintu Alam Ghaib ini telah dibuka kepada saudara.

Alam ini penuh dengan keajaiban. Ia lebih hebat dari alam yang nampak oleh mata kasar itu. Orang yang tidak mempedulikan Alam tinggi itu dan hanya melekatkan dirinya dengan alam nyata sahaja, maka dia itu adalah ibarat binatang dan bukan manusia sebenarnya. Dia lebih sesat lagi dari binatang kerana binatang itu tidak dikurniakan sayap untuk terbang ke Alam tinggi itu. Al-Quran ada menerangkan orang seperti itu dengan firman Allah;

"Orang-orang yang demikian itu adalah lembu kerbau, bahkan lebih sesat lagi".

Perkaitan Alam Kasar dengan Alam Ghaib itu adalah ibarat kulit buah dan isinya atau ibarat bentuk(acuan) dengan nyawa, atau gelap dengan terang, atau neraka dengan syurga. Kerena itulah Alam Ghaib itu digelar Alam Tinggi atau Alam Ruh atau Alam Nur (cahaya) dan Alam Nyata ini digelar Alam Bawah atau Alam Rendah, atau Alam Benda atau Alam Gelap.

Tetapi janganlah saudara anggap apa yang saya maksudkan dengan Alam Tinggi ini sebagai langit atau tujuh petala langit, meskipun ia berada di atas. Langit itu dapat dilihat oleh mata kasar manusia dan binatang. Tetapi pintu ke Alam Tinggi itu tertutup kepada manusia dan manusia bukan menjadi penghuni alam itu kecuali;

"Bumi ini baginya bertukar menjadi bukan bumi, dan begitu jugalah langit". (Al-Quran).

Pendeknya, kecuali semua yang mendatang ke dalam bidang deria dan khayalan termasuk langit yang kelihatan itu menjadi buminya dan langit itu melebihi jangkauan derianya. Inilah kenaikan (mikraj) pertama bagi setiap Salik (orang dalam perjalanan menuju Allah) dalam perjalanannya menuju ke Hadirat Allah Subhanahuwa Taala. Manusia telah dihantarkan ke tempat yang rendah dan kemudian mestilah manusia itu naik ke tempat paling tinggi.

Bukan seperti para malaikat, kerana malaikat itu adalah termasuk dalam Alam Keruhanian itu, sentiasa berada di hadirat Allah dan dari situ mereka melihat ke alam rendah ini. Nabi Muhammad SAW. pernah berkata;

"Allah mencipta makhluk dalam kegelapan; kemudian dipancarkan Nur (cahaya) kepada makhluk itu".

dan sabda beliau lagi yang bermaksud;
"Allah mempunyai malaikat-malaikat yang tahu kerja-kerja manusia lebih dari manusia itu mengetahui dirinya".

Adalah Nabi-Nabi apabila mereka mikraj ke Alam Tinggi itu, mereka sampai ke tempat yang paling tinggi. Dari situ mereka melihat keseluruhan alam ghaib itu kerana orang yang berada d Alam Tinggi tersebut adalah bersama Allah dan mempunyai kunci kepada yang ghaib. Saya maksudkan iaitu dari tempat di mana orang itu menjadi sebab kepada benda-benda yang ada ini turun ke dalam alam deria atau alam nyata. Ini adalah kerana alam nyata ini adalah satu daripada kesan-kesan daripada alam tinggi itu. Alam nyata ini adalah keluaran atau terbitan dari alam ghaib itu seperti ibarat bayang-bayang itu terbitan dari sesuatu badan atau ibarat air buah yang keluar dari buah, atau akibat dari sebab.

Kunci daripada ilmu berkenaan kesan atau akibat itu dicari dan didapati dalam sebab. Kerana itulah alam nyata ini adalah sati jenis daripada alam ghaib, seperti yang kita nampak apabila kita mengkaji tentang Misykaat (ceruk), lampu dan pokok kerana sesuatu yang dibandingkan itu tentulah sejajar dan ada persamaan dengan sesuatu dengan yang diperbandingkan, samada persamaan itu jauh atau dekat. Ini pun satu perkara lagi yang sangat mendalam pengajiannya. Barang siapa yang mengetahui maksud batinnya akan dilihatlah dengan mudah tentang kebenaran dan kesungguhan jenis-jenis itu dalam Al Quran.

Saya (Imam Ghazali) katakan bahawa apa sahaja yang yang melihat diri dan bukan diri patut sekali mendapat gelaran "cahaya" dan apa yang memberi tambahan kepada itu dengan satu lagi tugas, iaitu menjadikan "bukan diri" itu boleh kelihatan, adalah lebih wajar lagi digelar "cahaya". Lebih wajar daripada sesuatu yang tidak ada kesan apa pun walaupun di luar dirinya.

Inilah cahaya yang berhak dinamakan "lampu yang bersinar"(Al-Quran) kerana cahayanya terpancar kepada bukan diri. Inilah sifatnya Ruh Kenabian yang tinggi itu, kerana melalui caranya itulah terpancar sinaran ilmu ke alam ini. Ini menerangkan juga kenapa Allah memberi Muhammad gelaran "yang bersinar"(Al-Quran). Semua Nabi-nabi itu adalah lampu-lampu dan begitu juga orang-orang Alim(berilmu); tetapi perbezaan antara mereka adalah tidak terkira.

4. Cahaya ini sebagai lampu-lampu Alam Rendah dan Alam Tinggi; dengan susuanan dan peringkatnya.
--------------------------------------------------------------------------------
Jika sewajarnyalah digelar sesuatu itu yang dirinya cahaya pandangan itu terpancar keluar sebagai "Lampu Yang Bersinar", maka sesuatu itu yang dirinya lampu itu dengan sendirinya terpasang nyala, bolehlah diibaratkan sebagai api.

Semua lampu-lampu Alam Rendah (Alam Nyata) ini pada asalnya dipasang dari cahaya Maha Tinggi, dan berkenaan Ruh Kenabian itu ianya ditulis sebagai "Minyaknya bersinar meskipun tidak disentuh oleh api". dan menjadi "cahaya atas cahaya" apabila disentuh oleh api. Dengan itu, punca atau sumber yang menyalakan ruh-ruh rendah itu ialah Ruh-ruh Maha Tinggi, sebagaimana diceritakan oleh Sayyidina Ali dan Ibn. Abbas r.a demikian;

"Allah mempunyai satu malaikat yang mempunyai 70,000 muka. Bag tiap-tiap satu muka ini ada 70,000 lidah dan lidah ini sentiasa memuji Allah SWT.".

Inilah dia yang dibezakan dari semua malaikat dalam ayat yang bermaksud;

"Pada hari di mana ruh itu berdiri dan malikat berbariskan bersaf-saf". (Al-Quran).

Ruh-ruh Alam Tinggi ini, jika mereka dianggap sebagai sumber yang menyalakan lampu-lampu Alam Rendah ini, maka bolehlah dibandingkan dengan "API" dan menyalanya itu tidak dapat dilihat kecuali "di atas tepi gunung". (Al-Quran).

Sekarang marilah kita bincangkan perkara yang berkenaan lampu-lampu Alam Tinggi ini yang dirinya dipasang lampu-lampu Alam Rendah ini. Marilah kita susun lampu-lampu itu menurut nyalanya satu lepas satu yang paling atas dalam susunan itu ialah nama cahaya yang paling mulia dan dialah yang mengambil tempat paling tinggi dalam susunan itu.

Perumpamaan susunan ini di alam deria (pancaindera) hanya boleh difahami oleh seseorang yang melihat cahaya bulan yang menembusi tingkat rumah, dan cahaya itu tertumpu kepada sekeping cermin yang terlekat pada dinding, dan cahaya itu berbalik ke dinding yang satu lagi, dan seterusnya berbalik menuju lantai. Maka teranglah lantai itu.

Cahaya lantai itu datang dari dinding, dan cahaya dinding itu datang dari cermin, dan cahaya cermin itu datang dari bulan, dan cahaya bulan datang dari matahari, kerana matahari itu yang menyinarkan cahayanya pada bulan.

Dengan itu, empat cahaya ini tersusun bertingkat-tingkat satu lepas satu. Tiap-tiap satu cahaya lebih sempurna dari yang satu lagi, dan tiap-tiap ada mempunyai tingkatan tertentu dan darjat sewajarnya yang tidak boleh melampaui tingkatan darjat bagi dirinya itu.

Ingin saya(Imam Ghazali) beritahu kepada saudara, bahawa telah ternyata kepada orang yang mempunyai makrifat, iaitu jika demikianlah susunan cahaya-cahaya Alam Tinggi itu. Maka yang paling tinggi ialah yang paling hampir dengan cahaya terakhir atau sumber cahaya itu. Maka dengan itu, Israfin(malaikat) adalah lebih tinggi dari pangkat Jibrail. Dan di kalangan mereka itu ada malaikat yang hampir sekali dengan Hadirat Allah SWT., dan Allah itulah yang menjadi sumber cahaya-cahaya ini, dan di kalangan itu pula ada manusia yang paling hampir; dan di antara kedua peringkat itu banyak dan ada susunan-susunannya pula, berperingkat-peringkat.

Oleh itulah dikatakan;

"Tidak seorang pun daripada kamu melainkan mempunyai tempat kedudukan tertentu masing-masing",
dan;
"Sesungguhnya kami adalah berpangkat; kami adalah daripada mereka yang mulutnya sentiasa memuji Allah". (Al-Quran).

5. Sumber semua peringkat cahaya: Allah
--------------------------------------------------------------------------------
Kemudian ingin saya hendak beritahu saudara bahawa peringkat-peringkat cahaya ini bukanlah naik ke atas tanpa had. Had atau peringkat muktamatnya ialah cahaya yang bercahaya dengan sendirinya. Cahaya tidak didatangkan dari punca yang lain ; bahkan cahaya itulah yang mengeluarkan cahaya kepada yang lain, menurut susunan dan peringkat masing-masing.

Tanya diri saudara sendiri. Manakah yang lebih patut dipanggil cahaya; yang bercahaya sendirinya dan menyinari yang lain, atau pun yang cahayanya datang dari sumber lain dari dirinya?. Tentu saudara telah tahu jawapannya, bukan? Dengan itu, dapatlah kita kesimpulan bahawa panggilan cahaya itu sebenarnya patut diberi kepada cahaya tertinggi itu. Di atas itu tidak ada cahaya lagi, bahkan cahaya yang lain itu datang daripadanya.

Berani saya katakan bahawa istilah "cahaya" ini sepatutnya diberi kepada cahaya yang tertinggi itu dan yang lain dari itu sebenarnya tidak bercahaya. Cahaya yang ada pada yang lain itu adalah pinjaman semata-mata. Mereka sendiri tidak mempunyai cahaya, hanya berharapkan cahaya pinjaman. Jadi, mereka sebenarnya tidak ada cahaya. Memanggil "orang yang meminjam" dengan nama "orang yang memberi pinjam" adalah semata-mata panggilan tanpa isi sebenarnya. Cubalah fikirkan, siapakah sebenarnya yang mempunyai barang (di sini katakanlah, kuda), orang yang memberi pinjam kuda tunggangan atau orang yang meminjam kuda tunggangan itu? Yang mempunyai kuda tunggangan itukah yang berharta (di sini berkuda) atau orang yang meminjam itu yang berharta? Orang yang meminjam itu tetap tidak mempunyai kuda kerana kuda bukan dia yang punya. Yang mempunyai kuda itulah tuannya.

Oleh yang demikian, cahaya hakiki ialah Dia yang menjadikan makhluk dan mentadbir mereka itu. Dia yang memberi cahaya dan menahan cahaya. Tidak ada sekutu baginya. Cahaya itu Dia punya. Yang lain tidak berhak campur tangan dalam urusanNya. Kecuali ada juga Dia menggelar yang dijadikan itu "cahaya" semata-mata kerana ia menghendaki supaya dipanggil demikian. Ibarat tuan yang hendak memberi hanya satu hadiah, dan diberinya hamba itu nama "tuan". Apabila hamba itu menyedari hakikat ini, dia pun tahulah bahawa dirinya itu dan kepunyaannya itu adalah hak tuannya, bukan hak dirinya. Allah itulah tuan yang mempunyai sekelian Alam, dan tidak ada apa dan siapa pun yang bersyarikat dengan Dia.

Sekarang tahulah saudara bahawa cahaya itu ialah yang kelihatan dan ternampak.

Saudara juga telah tahu peringkat-peringkat cahaya itu. Selanjutnya saudara tahu juga bahawa tidak ada gelap yang lebih gelap dari "bukan wujud" kerena sesuatu benda yang gelap itu dipanggil "gelap" kerena ia tidak kelihatan. Ia tidak terlihat meskipun ia ada wujud. Tetapi yang tidak ada wujud pada pandangan orang lain dan pandangan dirinya adalah yang paling gelap.

Sebaliknya atau lawannya ialah wujud, dan wujud ialah cahaya, kerena kecuali benda itu terzhohir pada yang lain, wujud itu terbahagi kepada dua jenis. Satu, ialah yang mempunyai wujud pada dirinya; dan dua, ialah wujudnya itu didapati dari bukan dirinya. Wujud jenis yang kedua ini ialah wujud pinjaman, yang bererti tidak wujud sendirinya, bahkan pada hakikatnya, ia tidak wujud. Wujud itu itu tergantung kepada yang lain. Oleh itu, pada hakikatnya ia tidak wujud, seperti perumpamaan orang yang mempunyai kuda dengan orang yang yang meminjam kuda tadi.

Oleh itu, Wujud Hakiki ialah Allah Subhanahuwa Taala dan juga cahaya hakiki ialah Allah Subhanahuwa Taala jua.

6. Hakikat bagi segala Hakikat.
--------------------------------------------------------------------------------
Dari titik permulaan inilah makrifat Allah naik ke atas dari Majazi (bukan sebenarnya) kepada Hakiki. Ibarat memanjat dari tanah rendah ke gunung yang tinggi, dan di tingkat akhir kenaikkan mereka itu dapatlah mereka melihat bahawa sebenarnya tidak ada yang lebih wujud kecuali Allah sahaja dan "segalanya binasa kecuali wajahNya" (Al-Quran).
Bukanlah binasa dan hancur serta di masa-masa yang tertentu, tetapi adalah binasa dan hancur musnah sentiasa. Apa sahaja selain Allah, apabila dipandang dari segi dirinya, adalah pada hakikatnya, tidak wujud. Wujud yang ada pada sesuatu selain Allah itu adalah semata-mata pemberian Allah jua. Allah yang memberi makhluk itu wujud. Wujud makhluk itu bergantung kepada Wujud Allah. Oleh yang demikian, Wajah Allah itulah yang sebenarnya Wujud.

Tiap-tiap sesuatu itu ada dua wajah. Wajahnya dan Wajah Allah. Wajahnya itu tidak ada apa-apa, tetapi Wajah Allah itulah yang sebenarnya Wujud. Dengan itu, tidak ada Yang Wujud kecuali Allah. Segala-gala yang lain adalah binasa dan hancur lebur, melainkan Allah yang berkekalan sentiasa.

Orang-orang yang mempunyai makrifat seperti ini tidak perlu menunggu kebangkitan hari Qiyamat untuk mendengar Allah berfirman;

"Siapakah yang berkuasa hari ini? Allah sahaja Yang Esa dan tidak ada tandinganNya"(Al-Quran).

kerana firman itu sentiasa kedengaran oleh mereka yang mempunyai makrifat itu. Mereka hairan mengapa diteriakkan "Allahhu Akbar" yang menunjukkan ia lebih besar daripada segala kebesaran yang lain. Kenapa? kerena yang besar itu adalah Dia dan Dia sahaja yang mempunyai kebesaran. Lain dari Dia tidak ada besarnya bahkan yang lain itu adalah kosong, tiada ada yang bersekutu dengan Dia. Semua yang wujud ini, pada hakikatnya adalah WujudNya jua. Tidaklah mungkin Dia itu "Lebih Besar" dari wajahNya sendiri. Allah itu Maha Agung dan Maha Besar, tidak boleh dikatakan "Lebih Besar" atau "Paling Besar" , kerena ia membawa pengertian perbandingan. Pada hal kebesaran itu tidak boleh dan tidak ada bandingannya. Kebesaran itu tidak boleh diketahui sepenuhnya oleh sesiapa pun, walaupun Nabi-nabi atau Malaikat-malaikat. Tiada siapa yang dapat mengenal dan mengetahui Allah itu sepenuhnya (seratus peratus) kecuali Dia sendiri jua; kerana tiap-tiap yang diketahui itu adalah termasuk dalam bidang yang mengetahui, satu keadaan yang mana adalah menafikan semua kemuliaan, semua kebesaran. Bukti penuh tentang ini ada saya beri dalam karangan saya(Imam Ghazali) yang lain.

Orang-orang yang mempunyai makrifat itu, apabila kembali dari kenaikkan mereka ke Alam Hakikat itu, sebulat suara mengakui bahawa mereka tidak melihat apa pun kecuali Allah Yang Maha Esa sahaja. Ada yang sampai ke peringkat ini dengan saintifik, ada pula percubaan dan secara subjektif. Di sini, mereka nampak Keesaan Yang Mutlak dan akan tenggelam di dalamnya. Berbilang-bilang dan banyak tidak ada pada pandangan mereka. Mereka kagum dan terpesona memandang Keesaan itu. Tiada daya upaya mereka kecuali menyebut "Allah", bahkan menyebut diri mereka sendiri pun tidak berupaya. Tiada apa lagi beresama mereka kecuali Allah.
Mereka mabuk dalam suasana yang di dalamnya aqal mereka sendiri pun lenyap, hingga ada yang berkata

"Akulah Yang Haq" dan juga
"Maha Suci Aku",
"Alangkah Agungnya Aku" dan
"Dalam baju ini tidak ada yang lain kecuali Allah"

...............tetapi perkataan orang-orang cinta Allah ini dalam mabuknya itu mestilah disembunyikan dan jangan dihebahkan. Apabila mereka keluar dari mabuk itu, mereka pun kembali semula kepada Aqal mereka dan Aqal inilah neraca Allah di muka bumi ini.
Mereka sedar bahawa mereka bukanlah bersatu (dengan Tuhan) tetapi hanya menyerupai atau mewakili Allah sahaja. Seseorang pencinta Allah yang dalam puncak perasaan cinta berkata;
"Akulah Dia yang aku Cintai dan Dia yang aku Cintai itu ialah aku; Kami adalah dua jiwa dalam satu badan".
Kerana mungkin bagi seseorang yang tidak pernah melihat cermin seumur hidupnya akan terpesona oleh cermin itu apabila ia melihat cermin itu dan menyangka apa yang dilihatnya dalam cermin sebagai bentuk rupa cermin itu sendiri, "serupa" dengannya. Seseorang lain melihat arak dalam gelas dan menyangka arak itu sebagai warna gelas itu. Jika sangkaan itu telah menjadi sebati difikirnya, ia pun lenyap dalam sangkaan itu, lalu ia menyanyi;

"Gelas itu nipis, arak itu jernih, kedua-keduanya serupa, perkara ini rumit sekali, kerana seolah-olah ada araknya dan tidak ada gelas arak di situ, atau seolah-olah ada gelas arak dan tidak ada araknya".

Di sini ada perbezaan antara perkataan, "Arak itu ialah gelas arak", dengan perkataan, "ianya seolah-olah gelas arak".

Apabila keadaan ini wujud, ianya digelar FANA, bahkan FANA DALAM FANA, bagi orang yang mengalaminya, kerana Ruh itu telah FANA dalam dirinya, bahkan FANA DALAM FANANYA, kerana ia tidak sedar dirinya dan tidak sedar tentang tidak sedarnya. Kalau ia sedar tentang tidak sedarnya, maka sedarlah ia tentang dirinya. Bagi orang yang tenggelam dalam keadaan ini , maka keadaan ini digelar dalam bahasa kiasan "persamaan"; dan dalam bahasa hakikat "penyatuan". Di bawah hakikat-hakikat ini ada tersimpan rahsia-rahsia yang mana kita tidak bebas untuk membincangkannya. .

7. Wajah Allah: Penerangan "mendalam" tentang perhubungan cahaya-cahaya ini dengan Allah..
--------------------------------------------------------------------------------
Mungkin saudara ingin benar hendak tahu berkenaan wajah yang mana cahaya Allah itu dikaitkan dengan langit dan bumi, atau pun wajah yang mana Dia itu sendiri cahaya langit dan bumi. Inilah yang hendak kita bincangkan sekarang.
Sekarang saudara telah tahu bahawa Allah itu cahaya, dan yang lain dari Dia tidak ada cahaya. Setiap cahaya adalah Dia, dan juga cahaya keseluruhan adalah Dia juga.
Oleh kerana cahaya itu bermaksud sesuatu yang menzhohirkan atau yang menampakkan yang lain; atau lebih tinggi iaitu bermaksud sesuatu yang dengannya dan untuknya yang lain dizhohirkan bahkan lebih tinggi dari itu lagi iaitu bermaksud sesuatu yang dengannya untuk dirinya dan dirinya yang lain terzhohir.
Sekarang saudara tahu juga bahawa apa sahaja digelar cahaya yang sebenarnya ialah sesuatu yang dengannya, untuknya, dan diri yang lain itu terzhohir atau ternampak. Cahaya ialah yang bercahaya dengan sendirinya. Cahaya itu timbul dalam dirinya, dari dirinya dan untuk dirinya. Cahaya tidak datang dari sumber yang lain. Cahaya yang sedemikian itu tidak lain tidak bukan hanya Allah sahaja. Saudara juga telah mengetahui bahawa langit dengan bumi ini dipenuhi dengan cahaya, yang bersangkutan dua peringkat cahaya, iaitu pandangan mata dan pandangan akal.
Cahaya yang pertama itu ialah apa yang kita lihat di langit seperti matahari, bulan dan bintang; dan apa yang kita lihat di bumi, seperti sinaran cahaya yang melimpahi seluruh muka bumi, yang menampakkan semua warna, bentuk, binatang, tumbuh-tumbuhan dan benda-benda lain dalam semua keadaan; dan jika tiada cahaya ini, maka tidaklah kita nampak warna, atau tidaklah ada warna.
Tiap-tiap bentuk dan saiz (besar atau kecil) yang terlihat oleh kita adalah diketahui oleh warna, dan tidak mungkin melihatnya tanpa warna.

Berkenaan cahaya Akal, maka Alam Tinggi itu dipenuhi oleh cahaya itu, iaitu seperti kejadian malaikat; dan Alam Rendah ini pun dipenuhi oleh cahaya itu iaitu seperti hidup (nyawa) binatang dan hidup manusia. Susunan atau keadaan Alam Rendah ini dizhohirkan dengan cahaya malaikat. Inilah susunan atau keadaan yang disebut oleh Allah;

"Dialah yang membentuk kamu dari tanah, dan menampakkan kamu di permukaan bumi, agar Dia menjadikan kamu sebagai khalifah di atas muka bumi" dan
"menjadikan kamu khalifah di muka bumi', dan
"Sesungguhnya aku adalah khalifah di muka bumi". (Al-Quran)

Oleh yang demikian, saudara lihat bahawa seluruh alam ini dipenuhi oleh cahaya pandangan zhohir dan cahaya Aqal Batin, dan juga cahaya-cahaya tingkat rendah ini dipancarkan atau dikeluarkan kepada satu dari yang lain. Umpama cahaya yang keluar dan terbit dari sebuah lampu; sementara lampu itu sendiri ialah Cahaya Kenabian yang tinggi. Ruh-ruh Kenabian itu dinyalakan dari ruh-ruh yang tinggi, seperti lampu dinyalakan api, dan ruh-ruh yang tinggi ini dinyalakan kepada satu dari yang lain.
Susunan ini adalah berperingkat-peringkat ke atas. Semua ini naik naik ke atas sampai ke cahaya bagi segala cahaya. Sumber dan punca segala cahaya iaitu Allah. Semua cahaya-cahaya lain adalah pinjaman dari Allah dan Dialah sahaja cahaya sebenarnya. Segalanya datang dari cahayaNya, bahkan Dialah segala-galanya. Dialah yang sebenarnya ada. Tiada cahaya kecuali Dia. Cahaya yang lain hanya cahaya wajah yang menyertaiNya, bukan terbit dari diri mereka sendiri..

Oleh yang demikian, wajah dan muka segala sesuatu menghadap kepada Dia dan menghala kepadaNya. Firman Allah;

"Kemana sahaja mereka memalingkan muka mereka, di situ ada Wajah Allah". (Al-Quran).

Tiada Tuhan selain Dia, kerana perkataan "TUHAN" itu menunjukkan sesuatu yang kepadaNya semua muka menghadap dalam ibadat dan dalam penyaksian Dialah Tuhan. Saya (Imam Ghazali) maksudkan iaitu muka atau wajah manusia iaitu hati manusia, kerana hati itulah cahaya dan ruh. Bahkan sebagaimana;

"TIADA YANG DISEMBAH MELAINKAN DIA",

maka begitulah juga ;

"TIADA YANG MENYEMBAH SELAIN DIA",

kerana perkataan "DIA" itu membawa maksud sesuatu yang boleh ditunjukki. Tetapi dalam tiap-tiap perkara dan sebarang keadaan dan hal, kita boleh menunjuk sahaja. Setiap kali saudara menunjuk sesuatu, tunjukkan itu pada hakikatnya adalah kepada Dia, meskipun saudara tidak sedar oleh kerana kejahilan saudara tentang hakikat bagi segala hakikat, yang mana telah kita bincangkan dulu.

Seseorang itu tidak mungkin menunjuk cahaya matahari, tetapi boleh menunjuk matahari. Maka begitu jugalah halnya dengan perhubungan segala sesuatu (makhluk) dengan Allah. Perumpamaan perhubungan makhluk dengan Allah adalah seperti perhubungan cahaya matahari dengan matahari.

Oleh itu, ucapan "TIADA TUHAN SELAIN ALLAH" adalah ucapan tauhid kebanyakan orang.

Tetapi ucapan tauhid sedikit orang(yang mempunyai makrifat) ialah "TIDAK ADA DIA MELAINKAN DIA".

Yang pertama untuk orang awam, dan yang kedua itu untuk "orang khusus". Yang kedua itu lebih benar, lebih tepat dan lebih sesuai. sudah sewajarnyalah orang yang mengucap demikian itu memasuki Alam Keesaan (Uluhiyah) dan Ketunggalan yang Maha suci dan Mutlak; Kerajaan Yang Maha Esa dan Maha Tunggal, dan inilah peringkat atau kedudukan terkahir kenaikkan manusia. Tidak ada tingkatan yang lebih tinggi dari itu lagi; kerana "NAIK" itu melibatkan berbilang-bilang (banyak) seperti melibatkan dua tingkatan naik "DARI" dan naik "KE". Apabila berbilang-bilang telah lenyap, maka terdirilah Keesaan. Perbandingan tidak ada, semua isyarat atau pengucapan dari "SINI" ke "SANA" pun tidak ada. Tidak ada lagi "TINGGI" atau "DALAM". Tidak ada "ATAS" atau "BAWAH".

Dalam tingkatan tersebut, naik ke atas lagi bagi ruh, tidak mungkin, kerana tidak ada lebih tinggi daripada yang paling tinggi. Tidak ada berbilang-bilang (banyak) di samping Esa dan Tunggal. Di sini berbilang-berbilang telah habis. Tidak ada kenaikkan (Mikraj) lagi bagi jiwa dan ruh. Jika ada pun, ia adalah "pertukaran di sini".

Maka pertukaran itu ialah "Turun ke langit yang paling rendah"; sinaran dari atas ke bawah, kerana yang paling tinggi itu, meskipun tidak ada lebih tinggi lagi dari takat itu, tetapi ada yang rendah. Inilah matlamat (tempat paling tinggi) dari segala matlamat. Tempat paling tinggi ialah matlamat terakhir yang dicari oleh ruh, yang diketahui oleh mereka yang tahu dan kenal, tetapi dinafikan oleh mereka yang jahil. Ini termasuk dalm bidang Ilmu Tersembunyi yang tidak diketahui oleh sesiapa kecuali orang yang mempunyai makrifat. Sekiranya mereka memperkatakan ilmu ini, ia akan dinafikan oleh orang-orang yang Jahil tentang Allah.

Tidak ada salahnya orang-orang yang mempunyai makrifat ini menyebut; "Turun ke langit yang paling rendah" iaitu turunnya seorang malaikat; meskipun seorang daripada mereka itu telah disangkakan membuat penerangan yag kurang wajar. Dia tenggelam dalam Keesaan Allah, dan berkata, bahawa Allah telah "turun ke langit paling rendah" bahawa penurunan ini adalah penurunannya, diibaratkan kepada cara-cara keadaan Alam zhohir, maka digunakan perumpamaan tersebut. Dia (orang yang tenggelam dalm Keesaan Allah itu) itulah yang dimaksudkan oleh sabda Nabi Muhammad SAW.;

"Aku menjadi telinganya yang dengannya dia mendengar; matanya yang dengannya dia melihat; lidahnya yang dengannya dia bercakap".

Jika Nabi itu menjadi telinga, mata dan lidah Allah, maka Allah sahajalah yang mendengar, melihat, bercakap. Dialah juga yang dimaksudkan dengan dengan firmanNya kepada Nabi Musa;

"Aku sakit, tetapi engkau tidak mengunjungi Aku".

Menurut ini, pergerakan badan orang-orang yang betul-betul beriman dengan Kesaan Allah itu adalah dari langit yang paling rendah itu, dan Aqalnya dari langit yang lebih tinggi dari langit yang kedua itu. Dari langit Aqal itu dia naik ke atas ke sempadan di mana makhluk tidak boleh naik lagi, iaitu Kerajaan Ketuhanan Yang Maha Esa, tujuh lapis dan selepas itu "Dia duduk di atas singgahsana" tauhid dan situ "Memerintah" seluruh lapisan-lapisan langit itu.

Orang telah tamat pengembaraan sedemikian rupa, maka ayat ini boleh dipakai kepada dia;

"Allah menjadikan Adam menurut bayanganNya"

Apabila ayat ini direnungi dan difikirkan secara mendalam, maka diketahulah bahawa maksudnya adalah serupa dengan kata-kata;

"Akulah Yang Haq(Tuhan)".

"Maha suci Aku"

atau sabda Nabi SAW. bahawa Allah berfirman;
"Aku sakit, tetapi engkau tidak mengunjungi Aku" dan
"Akulah telinganya, matanya dan lidahnya".

Eloklah sekarang kita hentikan perkara ini kerana saya(Imam Ghazali) fikir saudara belum ada mendengar lebih dari apa yang sampaikan ini.

8. Perkaitan cahaya-cahaya ini dengan Allah;Penerangan yang lebih mudah.
--------------------------------------------------------------------------------
Mungkin saudara susah hendak faham dengan penerangan yang tersebut dahulu itu. Maka saudara rasa payah hendak faham. Maka di sini saya akan memberikan penerangan yang lebih mudah, agar saudara dapat memahaminya.
Maksud "Allah itu cahaya langit dan bumi " boleh difahami jika dikiaskan kepada cahaya biasa yang nampak itu. Apabila saudara melihat warna tumbuhan-tumbuhan disiang hari- katalah warna hijau - saudara tentu menyangka yang saudara melihat warna, dan mungkin saudara mengatakan saudara hanya melihat warna, tidak ada yang lain lagi. Seolah-olah saudara mengatakan "Saya tidak nampak yang lain kecuali warna hijau ". Memang banyak orang berdegil mengatakan demikian. Kata mereka perkataan " cahaya " itu tidak ada ertinya, hanya kosong, kata mereka apa yang nampak hanyalah warna. Dengan demikian, mereka menafikan adanya cahaya meskipun cahaya itulah yang paling terang dan nyata sekali terzohir daripada benda-benda lain. Kenapa tidak? Kerana dengan adanya cahaya itulah benda-benda itu terzohir atau ternampak. Kerana cahaya itu sendiri boleh kelihatan dan membuat benda-benda lain kelihatan, sebagaimana yang kita bincangkan dulu.

Tetapi apabila matahari terbenam dan lampu langit lenyap dari pandangan, dan bayangan atau gelap malam datang, maka barulah orang-orang ini sedar adanya perbezaan antara bayangan atau gelap dengan cahaya. Maka barulah mereka meyakini bahawa cahaya itu memang ada disebalik semua warna dan dilihat bersama warna. Bolehlah dikatakan bahawa oleh kerana paduan persatuan cahaya dengan warna itu, hinggakan cahaya itu tidak disedari ada di situ, mungkin kerana terlampau terang dan nyata inilah menyebabkan cahaya kelihatan. Mungkin kerana terlampau tarang dan nyata inilah menyebabkan cahaya tidak kelihatan, kerana sesuatu yang melampaui dari sempadan hadnya akan masuk ke wilayah yang berlawanan dengannya.

Jika penerangan ini telah jelas kepada saudara, maka saudara hendaklah tahu selanjutnya iaitu mereka yang dikurnai dengan pandangan sedemikian ini akan melihat Allah di samping sesuatu benda itu. Mungkin ada yang berkata;

" Tidak saya lihat sesuatu pun melainkan saya lihat Allah dahulu ".

Kerana ada di antara mereka yang melihat benda-benda melalui Allah dan dalam Allah. Ada pula yang melihat sesuatu benda itu dulu dan kemudian nampak Allah, dalam dan melalui benda-benda itu.

Kepada kelas ( golongan ) yang pertama itu, Al-Quran ada menerangkan;

" Tidakkah cukup bahawa Tuhanmu melihat semuanya?".

Kepada kelas yang kedua ini dengan ayat;

"Kami akan tunjukkan kepada mereka tanda-tanda kami dalam seluruh alam dan diri mereka sendiri ".

Bagi kelas ( golongan ) pertama, mereka melihat Allah terus; dan yang kedua melihat Allah melalui perbuatan-perbuatan atau kerja-kerjaNya(Allah). Yang pertama itu golongan Aulia Allah; dan yang kedua itu golongan orang-orang Arif " yang telah yakin dalam ilmunya." Selain dari dua golongan tersebut, tidak lain hanya orang-orang yang lalai; di muka mereka ada hijab (tabir).

Oleh yang demikian saudara mengetahui sekarang bahawa dengan adanya cahaya itu membolehkan mata kasar melihat dan nampak dan Allah itu membolehkan mata batin manusia melihat dan nampak kerana Allah itu ada bersama segala sesuatu setiap ketika dan Dialah yang menampakkan segalanya itu. Meskipun ada persamaan antara kedua itu, namun perbezaannya ada juga. Cahaya biasa itu boleh hilang apabila matahari terbenam, dan datanglah gelap yang menjadi hijab. Tetapi Cahaya Ketuhanan itu tidak boleh hilang. Cahaya itu mesti ada untuk membolehkan penglihatan. Mataharinya tidak pernah terbenam. Ia kekal selamanya dengan semua perkara.

Oleh itu cara membezakan (sebagai cara untuk membezakan wujudnya Allah dengan perbuatanNya) tidaklah berupaya kita. Jika rupa Allah itu boleh dilihat, maka akan hancurlah langit dan bumi ini; dan oleh itu, melalui pembezaan, akan menerbitkan kesan dalam fikiran, yang serentak memaksa pengenalan kepada sebab yang dengannya semua perkara ternampak zohir. Tetapi sebagaimana yang kita lihat, semua kejadian tetap sama dan tidak berubah-ubah pada pandangan kita kerana Ketunggalan yang menjadikan mereka itu. Kerana "segala sesuatu memuji Dia" (Al-Quran).

Ini bererti bukan setengah-setengah perkara tetapi adalah segala-galanya, dan bukan kadang-kadang tetapi adalah sentiasa. Dengan itu, pembezaan ini tidak timbul, dan jalan menuju melihat rupa Allah itu terhalang. Kerana jalan yang paling terang menuju mengenal benda-benda ialah melalui pertentangan atau lawannya. Benda-benda yang tidak ada lawan ( OPPOSITEE ) atau sebaliknya, dan keadaanya sentiasa serupa apabila kita melihatnya, akan menyebabkan besar kemungkinan pandangan kita disilapkannya. Dalam hal ini, gelap atau tidak terang itu adalah akibat dari terlalu terang dan nyatanya, dan dikelirukan atau disilapkan oleh sinarannya yang terang itu. Maha Suci dan Agunglah Allah yang melindungkan dirinya dari makhlukNya dengan kerana terangNya itu, dan terhijab dari pandangan makhluk melalui SinarNya sendirinya yang terang benderang itu.

Mungkin juga keterangan ini tidak difahami oleh setengah-setengah orang yang kurang pintar, dan mereka yang membaca keterangan saya berkenaan " Allah bersama dengan segala sesuatu", kerana cahaya ini ada bersama segala sesuatu. Mungkin mereka memahami bahawa Allah itu ada setiap " tempat ". Maha Suci dan Maha Tinggi Allah itu dikaitkan dengan " tempat ". Tidak usahlah kita menyangka yang tidak terjangkau oleh akal. Saya tegaskan bahawa Allah itu terawal atau terdahulu dari segala-galanya, dan diluar had sempadan jangkauan pemikiran makhluk. Dia menzohirkan segala-segalanya. Bahawa "Yang menzohirkan " itu tidak boleh dipisahkan diri "Yang menzohirkan", menurut segi pandangan si pemikir. Inilah apa yang kita maksudkan bahawa Allah bersama dengan segala sesuatu.

Saudara juga tentu tahu selanjutnya bahawa "Yang menzohirkan" itu adalah terdahulu dan terlampau tinggi dari jangkauan "Yang menzohirkan", meskipun dia "bersama" nya. Dia "bersama" nya dari satu aspek (wajah) dan "terlampau jangkauan" nya dari aspek yang lainnya.

Janganlah dianggap di sini ada pertentangan atau perlawanan (CONTRADICTION). Atau, fikiranlah bagaimana dalam Alam deria (yang mana tempat yang paling tinggi ilmu kita boleh maju ke atas) gerak tangan "bersama " dengan gerak banyangnya; namun begitu gerak tangan itu terdahulu dari banyangnya itu juga.

Barangsiapa yang tidak cukup pintar untuk menyikirkan ini, maka hendaklah ia meninggalkan penyelidikan tentang perkara ini, kerana:-

"Bagi setiap ilmu ada ahlinya; dan setiap orang dimudahkan untuk mendapat apa yang diuntukkan baginya. "

Bersambung ke Bahagian Kedua InsyaAllah jika dimudahkan; ..Pengetahuan tentang ibarat atau perumpamaan mukaddimah kepada penerangan tentang perumpamaan misykaat (ceruk), lampu, kaca, pokok, minyak dan api.

Bersambung ke Masykaatul Anwar - Bab Ibarat

No comments:

Post a Comment